Ghulam Dakwah

بسم الله الرحمن الرحيم

Dari Suhaib bahawa Rasulullah saw. pernah bercerita:

Di zaman sebelum kamu dahulu ada seorang raja yang mempunyai seorang tukang sihir. Bila
tukang sihir tersebut merasa dirinya telah tua, dia berkata kepada raja tersebut, “Aku telah tua.
Carilah seorang budak (yang paling cerdik)*[1] yang boleh aku ajarkan kepadanya sihirku”. Lalu
dicari seorang budak dan tukang sihir tersebut mengajarkan kepadanya ilmu sihirnya.

Di pertengahan jalan menuju ke tempat belajarnya, terdapat seorang rahib. Budak tersebut
telah duduk sebentar mendengar ajaran rahib tersebut dan merasa seronok dengannya.
Selepas kali tersebut, setiap kali melalui tempat rahib, budak tersebut akan berhenti dan
mendengar ajarannya. Akhirnya bila tiba kepada tukang sihir, ia dipukul (kerana terlambat). Lalu
ia mengadu kepada rahib. Rahib berkata kepadanya:

“Jika kamu takutkan tukang sihir, katakan kepadanya bahawa ibu bapaku menahanku (di
rumah), jika kamu takutkan ibu bapamu (kerana lewat pulang), katakan kepada mereka berdua
bahawa tukang sihir telah menahanku.”

Waktu berlalu dan pada suatu hari budak tersebut telah bertemu dengan seekor binatang besar
(singa)* yang menghalang laluan orang ramai. Budak tersebut berkata di dalam hatinya, “Pada
hari ini aku akan tahu siapakah yang lebih hebat, tukang sihir atau rahib”. Lalu diambilnya
seketul batu dan dibaca: “Ya Tuhan, jika sekiranya rahib lebih engkau cintai dari tukang sihir,
maka bunuhlah binatang ini dan berilah laluan kepada orang lain.”

Lalu dilontar batu tersebut dan binatang tersebut pun mati. (Orang ramai sangat kagum dengan
budak tersebut dan mengatakan dia mempunyai ilmu yang kita semua tidak mengetahuinya)*.

Perkara tersebut diceritakan kepada rahib. Rahib berkata padanya; Engkau pada hari ini telah
menjadi lebih hebat dariku. Engkau telah sampai ke peringkat yang aku dapat lihat sekarang.
Tapi ingat, Engkau nanti akan diuji. Apabila engkau diuji oleh Allah, maka jangan sekali-kali
engkau memberitahu tentangku.

Budak tersebut berjaya mengubat penyakit kusta dan sopak. Dia juga dapat mengubat semua
penyakit yang dihidapi oleh orang ramai. Suatu ketika seorang yang dekat dengan raja telah
terkena satu penyakit sehingga buta matanya. Apabila mendengar tentang kehebatan budak
tersebut dia telah membawa hadiah yang banyak. Dia berkata kepada budak tersebut; semua
ini untukmu jika engkau dapat menyembuhkan mataku.

Budak berkata kepadanya:

“Aku tidak mampu menyembuhkan sesiapa. Hanya Allah yang dapat menyembuhkan. Jika
engkau beriman dan percaya kepada Allah, aku akan berdoa dan Allah akan menyembuhkan
penyakitmu.

Lalu si pembesar buta tersebut percaya dan beriman kepada Allah. Budak tersebut mendoakan
untuknya dan matanya pun sembuh seperti sediakala.

Pembesar tersebut datang seperti biasa kepada raja. Raja terkejut dan bertanya kepadanya;
Siapa yang mengembalikan penglihatanmu? Kata pembesar tersebut: Tuhanku. Raja sangat
marah dan mengatakan: Ada ke tuhan lain selain dariku?? Lalu pembesar tersebut ditangkap
dan disiksa hingga dia pun membongkarkan ajaran budak tersebut. Budak tersebut dibawa
kepada raja lalu raja bertanya: “Aku telah mengetahui kehebatanmu, sekarang kamu dapat
menyembuhkan penyakit itu dan ini dan dapat melakukan itu dan ini”.

Lalu budak itu menjawab, “Aku tidak dapat menyembuhkan sesiapa. Hanya yang dapat
menyembuhkan ialah Allah. Lalu ia pun ditangkap dan terus di siksa sehinggalah ia pun
membongkarkan rahsia rahib (kerana tidak tahan dengan siksaan).
Lalu rahib pun ditangkap. Ia diarahkan supaya meninggalkan agamanya tetapi rahib menolak.
Lalu dibawa gergaji dan diletakkan di atas kepalanya dan digergaji, tubuhnya terbelah dua dan
keduanya melerai jatuh ke bumi.

Budak tersebut lalu dibawa lagi kepada raja. Raja berkata, “Balik semula kepada agama
asalmu”. Budak menolak lalu raja memanggil sebahagian dari kumpulannya dan dikatakan
kepada mereka: Bawa budak ini ke bukit sekian-sekian dan jika sekiranya ia tetap enggan,
campakkan dan atas bukit tersebut. Lalu mereka membawanya ke atas bukit. Tiba di sana,
budak berdoa kepada Allah:

Ya Allah, tolonglah aku dengan cara yang engkau kehendaki.

Tiba-tiba bukit bergegar dan jatuh kesemua orang-orang raja tersebut. Budak balik berjalan
kepada raja. Raja bertanya; Mana dia kawan-kawanku? jawab budak: Allah telah menolongku
menghadapi mereka. Lalu raja memanggil sebahagian lagi kumpulannya dan berkata: Bawa
budak ini ke tengah laut. Jika ia enggan, campakkan dia ke dalam laut.

Bila tiba di tengah laut, budak tersebut berdoa dengan doa yang sama. Tiba-tiba perahu
tenggelam dan semua kumpulan raja mati lemas. Budak balik semula kepada raja. Raja terkejut
dan bertanya: Mana kawan-kawanku? Jawab budak: Allah telah menolongku menghadapi
mereka.

Lalu budak tersebut berkata kepada raja: Kamu tidak mungkin akan dapat membunuhku
sehinggalah kamu menurut apa yang aku minta. Tanya raja: Apa dia? Kata budak: Engkau
kumpulkan semua orang ramai di satu padang, kamu ikatkan aku di pohon kurma. Kemudian
engkau ambil satu dan panahku dan letakkan panah tersebut pada busurnya. Kemudian
engkau baca: Dengan nama Allah, tuhan budak ini. Kemudian engkau panahlah aku. Kalau
engkau melakukan begitu, kamu akan dapat membunuhku.

Lalu raja pun mengumpulkan orang ramai di satu padang. Budak itupun diikat pada sebatang
pohon kurma. Kemudian diambil satu panah dan diletakkan pada busurnya. Lalu raja membaca:
Dengan nama Allah, tuhan budak ini dan terus dipanahnya. Panah tersebut mengenai bawah
telinganya. Perlahan-lahan budak meletakkan tangannya pada tempat panah tersebut dan terus
meninggal dunia.

(Tiba-tiba orang ramai berkata: Budak ini mengetahui perkara yang kita tidak ketahui.)* “Kami
percaya kepada tuhan budak ini”.

Raja menjadi kelam kabut dan dikatakan kepadanya, “Apakah tuanku tidak melihat apa yang
tuanku takuti. Sesungguhnya, Demi Allah! Ia telah menimpa tuanku. Orang ramai telah
semuanya beriman.”

Lalu raja menyuruh digali parit-parit di laluan-laluan orang ramai dan dinyalakan api di
dalamnya. Sesiapa yang lalu akan diarahkan supaya kembali semula kepada agama asal. Jika
tidak akan dicampakkan ke dalam parit tersebut.

Lalulah seorang wanita dengan seorang anak kecilnya (bayi). Wanita tersebut gementar takut
dicampakkan ke dalam api tersebut. Tiba-tiba bayinya bercakap dan berkata kepada ibunya:
Wahai ibu, sabarlah, engkau berada di atas kebenaran !

Hadis Riwayat Muslim (No.5327 Kitab Zuhud dan Raqa’iq) Tarmizi (No. 3263 Kitab Tafseer
Al-Quran) dan Imam Ahmad. Hadis di sebutkan oleh Imam An-Nawawi dalam Kitab
Riyadhus-Solihin di bawah Bab Sabar.

Di akhir riwayat, Imam Tarmizi menyatakan bahawa: Budak tersebut kemudiannya
dikebumikan. Pada zaman Saiyidina Omar ra. telah ditemui mayatnya dalam keadaan
tangannya masih diletakkan pada bawah telinganya yang masih luka. ALLAHUAKBAR!!

*[1] di dalam kurungan ialah beberapa tambahan yang ada di dalam riwayat Tarmizi.

-copy paste-

Comments

Popular Posts